Sepakan kaki kiri bekas pemain Manchester City itu melepasi tembok pertahanan dan melencong ke hujung kanan gawang sehingga menyulitkan penjaga gol Costa Rica, Keylor Navas untuk menepis bola.

Costa Rica yang mara ke suku akhir edisi 2014, bergelut untuk mencipta peluang dalam usaha menyamakan kedudukan selepas Serbia bermain dengan lebih bertahan dan sesekali melakukan serangan balas.

Lima minit masa kecederaan dibayangi ketegangan apabila penolong jurulatih Costa Rica, Luis Marin menghalang pemain tengah Serbia, Nemanja Matic daripada mengambil bola yang sudahpun terkeluar.

Situasi tersebut bagaimanapun berjaya dikawal beberapa minit kemudian.

Serbia, yang gagal menempatkan diri pada edisi 2014 di Brazil, kini mempunyai kelebihan dalam Kumpulan E, yang turut disertai juara dunia lima kali Brazil dan Switzerland.

Gol Kolarov itu merupakan jaringan ketiga menerusi tendangan bebas dalam Piala Dunia kali ini, sekali gus menyamai jumlah pada edisi lalu.

Serbia memenangi perlawanan pembukaan Piala Dunia buat kali pertama pada 1998 ketika turun sebagai Yugoslavia dengan mengatasi Iran 1-0. – REUTERS