Hatrik Isco dan masing-masing satu gol daripada Diego Costa, Iago Aspas serta Thiago Alcantara melengkapkan hari gemilang skuad La Roja di Stadium Estadio Wanda Metropolitano.

Gol saguhati Argentina dihasilkan menerusi Nicolas Otamendi.

“Saya sangat berpuas hati de­ngan kemenangan ke atas naib juara Piala Dunia lalu. Argentina adalah lawan yang memiliki sejarah fantastik.

“Apapun, itu semua tidak boleh dijadikan ukuran. Kami perlu memulakan perlawanan Piala Dunia dengan mata kosong dalam peringkat kumpulan,” kata Lopetegui.

Kekalahan memalukan itu menimbulkan kebimbangan terhadap pertahanan Argentina dengan jurulatih Jorge Sampaoli perlu mengatasinya dalam masa kurang tiga bulan sebelum Piala Dunia bermula.

“Saya bertanggung jawab atas kekalahan ini. Leo (Lionel Messi) berlatih bersama kami tetapi kaki­nya masih kurang selesa,” katanya mengenai Messi yang terpaksa direhatkan akibat kecedera­an hamstring.

Sergio Aguero dan Angel Di Maria turut cedera tetapi masalah Argentina ialah kurang mencipta peluang sementara ke­tajaman penyudah pemain Sepanyol Costa, Isco dan Marco Asensio sukar dibendung.

Kemenangan itu juga bermakna Sepanyol telah menjaringkan gol dalam semua 18 perlawanan antarabangsa di bawah kendalian Lopetegui sekali gus rekod baru buat jurulatih Sepanyol. – AFP