Selepas menang 2-1 ke atas England di Stadium Wembley minggu lalu, Sepanyol mereka kini meraih kemenangan 6-0 ke atas naib juara Piala Dunia, Croatia hari ini sekali gus menjadi permulaan baik buat Enrique sejak membimbing La Roja.

Ini kekalahan terbesar Croatia dalam perlawanan kompetitif sejak mara ke perlawanan akhir Piala Dunia di Rusia buat kali pertama.

Kejayaan itu meletakkan Sepa­nyol dalam keadaan selesa di dalam Liga A sekali gus berada dalam keadaan terbaik untuk melangkah ke separuh akhir pada Jun hadapan.

Sepanyol menguasai perlawanan dengan meledak tiga gol dalam tempoh 11 minit menerusi Saul Niguez dan dua jaringan Marco Asensio.

Asensio kemudian melakukan rembatan deras pada separuh masa kedua namun bola terkena palang dan mengenai badan penjaga gawal Lovre Kalinic untuk gol keempat La Roja.

Sergio Ramos menjaringkan gol kelima dan Isco menambah pada minit ke-70.

“Croatia ada peluang pada awal permainan tetapi jelas sekali kami jauh lebih hebat.

“Sukar untuk saya mengkritik pasukan terutama selepas mereka beraksi cemerlang. Sikap mereka sangat baik semasa di dalam padang,” kata Enrique.

Croatia yang tewas kepada Perancis di pentas akhir Piala Dunia gagal ber­aksi cemerlang selepas pertahanan mereka Sime Vrsaljko dikeluarkan akibat kecederaan, beberapa minit sebelum jaringan pertama Sepanyol.

“Kami beraksi cemerlang dalam 20 minit pertama, kami ada tiga peluang untuk menja­ringkan gol.

“Selepas Vrsaljko mengalami kecederaan, kami seperti tidak wujud di dalam padang.” kata pengendali Croatia, Zlatko Dalic. – AGENSI