Kapten Merah Kuning berusia 38 tahun akan kekal di posisi sayap kanan seperti ketika menentang Melaka United, Sabtu lalu yang menyaksikan dia meledak dua gol awal untuk Selangor melakar kemenangan sensasi 4-3.

“Apabila hilang dua penyerang import, Endrick dan Segovia dalam tempoh yang panjang, kami perlukan pengganti yang berpengalaman seluas seperti Amri.

“Dia akan kekal sebagai kapten dan dalam kesebelasan utama. Dengan pengalaman luas, dia mampu membawa sedikit kelainan kepada Selangor dalam berdepan juara Piala Malaysia 2018, Perak,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Amri atau dikenali sebagai Wak Am dan pemain gantian, Sean Eugene Selvaraj masing-masing menyumbat dua gol sekali gus memastikan Red Giants menyambar tiga mata dari Stadium Hang Jebat dan menghuni anak tangga kelima carta Liga Super 2019.

Sathianathan turut mengakui tiada salahnya untuk terus mengekalkan barisan utama Selangor dalam perlawanan kesembilan nanti ekoran momentum kemenangan ketiga mereka dan semangat tinggi kebangkitan daripada ketinggalan.

“Menentang Perak bakal jadi aksi yang lebih mencabar kerana saya mendapati Perak yang menguasai perlawanan dan mencipta peluang ketika seri dengan PKNS 2-2 di Ipoh, Ahad lalu.

“Perak ada reputasi selaku juara bertahan Piala Malaysia dan mereka seperti telah menemukan rentak permainan yang diperlukan untuk menang,” katanya.

Mengenai Sean, katanya, pemain itu masih perlu bersaing untuk mendapat tempat dalam kesebelasan utama bersama Syazwan Zainon dan Faiz Nasir.

“Seorang jurulatih perlu tahu bila masa yang terbaik untuk turunkan pemain berdasarkan kemampuannya. Benar dia yang jaringkan gol menentang Melaka tetapi untuk bermain sepenuh masa, masih dua perkara yang berbeza.

“Sekalipun dia mungkin di bangku simpanan dengan enam lagi pemain, saya mahu dia tahu setiap orang ada kepentingannya dalam pasukan,” katanya. - UTUSAN ONLINE