Pencapaian terbaik Malaysia dalam bola sepak wanita adalah meraih pingat perak pada Sukan SEA 1995 di Chiang Mai, yang menyaksikan skuad negara kalah tipis 0-1 kepada tuan rumah, Thailand dalam final.

Bagaimanapun sejak itu, tiada pencapaian membanggakan berjaya dilakar, malah dalam temasya 2009 di Laos mereka pulang bersama keputusan memalukan apabila diratah 14-0 oleh Thailand, 5-0 kepada Laos serta tewas 7-1 di tangan Myanmar. Skuad negara kemudian dibubarkan pada 2011.

Di Myanmar 2013, ada sedikit peningkatan ditunjukkan, namun masih tiada keputusan memberangsangkan diraih pemain wanita apabila tumpas 1-3 kepada Laos, 1-6 di tangan Thailand (peringkat kumpulan), 0-4 kepada Vietnam (separuh akhir) dan 6-0 dibelasah Myanmar pada penentuan tempat ketiga.

Rekod kurang memberangsangkan itu bagaimanapun tidak menggugat semangat mereka untuk meraih sesuatu yang ‘luar biasa’ di depan penyokong sendiri, bermula dengan melakar kemenangan sulung ke atas Filipina di Stadium UiTM, Shah Alam.

Menurut pengendali skuad bola sepak wanita, Mohd. Asyraaf Fong Abdullah, dua pertemuan awal menentang Filipina dan Myanmar (Khamis) penting bagi memastikan sasaran untuk merangkul gangsa dapat direalisasikan memandangkan dua aksi seterusnya mereka perlu menentang Thailand (20 Ogos) dan Vietnam (24 Ogos).

“Kami membariskan ramai pemain muda dan pasukan ini sedang dalam pembikinan, malah pemain yang ada hanya mencari pengalaman daripada temasya ini.

“Kami sedar lawan kami memiliki ranking jauh lebih baik. Thailand dan Vietnam adalah pilihan untuk memenangi emas.

“Begitupun, pemain saya sudah bersedia dan dua aksi pertama akan menjadi penentu kerana jika kita berjaya mengutip mata bertemu Filipina dan Myanmar maka sasaran untuk meraih gangsa lebih cerah.

“Kita tidak boleh tercicir mata pada dua perlawanan awal kerana selepas ini kita akan bertemu Thailand dan Vietnam,” katanya dalam sidang akhbar perlawanan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Asyraaf turut memberitahu, dia sudah memiliki bayangan kesebelasan utama yang akan diturunkan esok, malah menjelaskan motivasinya berada di tahap terbaik ketika ini.

Ini kerana skuad kendaliannya berjaya melakar kemenangan 1-0 ke atas Singapura dalam aksi persahabatan, Rabu lalu. Namun, Singapura tidak mengambil bahagian dalam temasya kali ini.

“Saya nampak pemain ingin berjuang kerana mereka ingin buktikan bola sepak wanita berada di landasan yang betul.

“Saya harap semua pihak bagi sokongan moral kepada pasukan ini yang sedang meningkat.

“Skuad bola sepak wanita kurang diberi tumpuan, jadi tidak salah jika kita bermula dari sekarang dan mungkin pada masa akan datang pasukan ini dapat perhatian yang lebih baik,” katanya.

Skuad bola sepak wanita negara dibubarkan