Hafizul, 24, muncul wira negara apabila berjaya menyelamatkan sepakan penalti penyerang Hong Kong, Sandro pada minit ke-97 sekali gus memastikan satu mata berharga kekal menjadi milik Malaysia selepas kedua-dua pasukan terikat 1-1 di Stadium Hang Jebat, Melaka.

Bagaimanapun, Hafizul berkata perlawanan pada malam ini pastinya berbeza memandangkan Hong Kong melakukan rombakan besar-besaran terhadap pasukannya malah dia juga menerima tentangan sengit daripada dua lagi penjaga gol yang turut sama-sama merebut tempat dalam kesebelasan utama.

“Sekiranya saya diberi peluang untuk diturunkan pada malam ini pasti saya berikan yang terbaik bagaimanapun saya akui persaingan untuk merebut tempat dalam kesebelasan utama bukan mudah.

“Ada dua penjaga gol yang saya perlu bersaing iaitu Ifwat (Akmal Chek Kassim) dan Khairulazhan (Mohd. Khalid) jadi terpulang kepada jurulatih (Nelo Vingada) untuk menurunkan yang mana.

“Bagi saya, apa yang berlaku di Melaka tempoh hari tidak boleh dijadikan kelebihan, memang saya selamatkan sepakan penalti namun itu sudah lepas. Sekarang pemain pun sudah lain,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Mengulas lanjut mengenai kekuatan Hong Kong, penjaga gol Perak itu berkata memiliki himpunan pemain naturalisasi adalah kelebihan pasukan tuan rumah.

“Jika kita boleh main lebih baik daripada perlawanan di Melaka saya yakin kita boleh dapatkan tiga mata. Barisan pertahanan pada kali ini tidak banyak perbezaan,” katanya lagi. - UTUSAN ONLINE