Chelsea akan melawat Newcastle esok dengan sasaran untuk mendapatkan kemenangan ketiga daripada tiga perlawanan pertama Liga Perdana musim ini.

Selepas menyuarakan kebimbangan mengenai berapa lama diperlukan oleh pemainnya untuk memahami falsafah permainannya, masalah Sarri ketika ini kelihatan berlegar di sekitar persoalan mengenai siapa yang akan diketepikan daripada kesebelasan utamanya.

Namun, dia telah mendapat gambaran menerusi kekalahan dalam perlawanan Perisai Komuniti kepada Manchester City dan kemenangan tipis ke atas Arsenal hujung minggu lalu di tempat sendiri bahawa di bahagian pertahanan masih perlu diperbaiki.

Ketika bertemu Gunners, Chelsea memerlukan jaringan pada peng­hujung perlawanan oleh pertahanan kiri Marcos Alonso untuk menang 3-2 selepas Henrikh Mkhitaryan dan Alex Iwobi menyamakan kedudukan setelah Blues mendahului dengan dua gol.

Dan, dengan Newcastle dilihat tidak memiliki cukup kekuatan untuk menggugat Blues seperti diberikan City dan Arsenal, Sarri sedar harapannya untuk memacu Chelsea kembali ke kelompok empat terkuat tidak akan dibantu oleh barisan pertahanan yang rapuh.

Pengurus berusia 59 tahun itu berkata pertahanan Chelsea masih belum mencapai tahap dikehendaki apabila dia menjelaskan mengenai ketiadaan Gary Cahill, menegaskan bahawa keada­an semakin sukar untuk pemain pertahanan menyerap strateginya berbanding pemain penyerang.

Seperti juga perancang Eden Hazard, Cahill kembali ke kem latihan pra-musim lewat berbanding beberapa rakan sepasukannya selepas membantu England mara ke separuh akhir Piala Dunia di Rusia.

Dan, dengan Sarri bertekad untuk menggunakan empat pemain di bahagian pertahanan selepas selama dua musim lalu bekas pengurus Antonio Conte memilih formasi 3-4-3, terdapat sedikit kekurangan di posisi pertahanan tengah.

“Saya fikir, ketika ini, pemain pertahanan lebih sukar bermain dalam pasukan saya selepas ha­nya 20 hari berlatih.

“Saya tidak bimbang mengenai bahagian pertahanan kerana, apabila saya menyertai pasukan baharu, kebiasaannya saya memang akan menghadapi masalah dengan bahagian pertahanan selama dua atau tiga bulan. Jadi saya fikir ini perkara normal bagi saya,” katanya. – AFP