Jika Barcelona sanggup membayar 142 juta pound (RM770 juta) untuk Coutinho, Real pula sedia menawarkan harga lebih tinggi bagi mendapatkan Salah.

Menurut wartawan bola sepak Itali, Gianluca Di Marzio, pembelian Coutinho telah mengejutkan ahli lembaga Real, yang percaya mereka perlu menunjukkan respons dengan melakukan pembelian lebih besar.

Salah, 25, mengharungi musim cemerlang sejak tiba di Anfield dari Roma pada Jun lalu apabila meledak 17 gol daripada 22 perlawanan Liga Perdana Inggeris, selain lima gol Liga Juara-Juara.

Pada ketika Liverpool yakin perpindahan Salah tidak mungkin berlaku dalam masa terdekat, mereka lebih berminat menumpukan kepada usaha mencari pengganti Coutinho.

Akhbar Britain mendakwa, Reds sedia ‘mencatas’ perpindahan Pierre-Emerick Aubameyang ke China selepas kelab Jerman, Borussia Dortmund akhirnya mahu melepaskan penyerang Gabon itu.

Dua kelab China, Guenghzou Evergrande dan Beijing Guoan telah mengemukakan tawaran, namun jumlah yuran perpindahan belum dicapai. Anggaran awal nilai Aubameyang adalah 63.5 juta pound (RM344.17 juta).

Bagaimanapun masalah utama yang dihadapi pengurus Liverpool, Jurgen Klopp adalah persaingan daripada Real, yang turut berminat mendapatkan pemain itu.

Biarpun Liverpool mempunyai dana untuk melakukan pembelian, namun mereka masih sukar menyaingi ‘kuasa wang’ skuad bimbingan Zinedine Zidane, lapor akhbar Perancis, Le10Sport.

Klopp pernah bekerjasama dengan Aubameyang, 28, sepanjang dua tahun membimbing Dortmund.

Pemain itu beraksi cemerlang musim ini dengan meledak 21 gol daripada 24 perlawanan, namun hubungan dengan Dortmund kini berantakan , malah dia pernah digantung pada November lalu atas alasan disiplin.

Selain Aubameyang, bintang tengah Monaco, Thomas Lemar, 22, masih menjadi sasaran Reds dan pemain itu dianggarkan bernilai 90 juta pound (RM488 juta). Turut dalam radar Liverpool dalam bintang RB Leipzig, Naby Keita.

Dalam perkembangan lain, Salah yang terlepas dua aksi perlawanan terakhir akibat kecederaan bersedia diturunkan dalam pertemuan Liga Perdana menentang Manchester City, Ahad ini. – AGENSI