Bintang antarabangsa Mesir itu ditimpa kecederaan selepas dia dikasari Sergio Ramos dalam babak pertama permainan pada final menentang Real Madrid, tahun lalu, yang berkesudahan Liverpool tewas 1-3 kepada kelab gergasi Sepanyol tersebut.

Liverpool mensasarkan untuk memperbaiki pencapaian mereka, musim ini, dengan mengintai peluang mendakap trofi sulung dalam pertandingan utama itu sejak berada di bawah kendalian Jurgen Klopp. Reds akan berdepan Tottenham di Madrid, hujung minggu ini, bagi memburu gelaran keenam Liga Juara-Juara.

Kapten Liverpool, Henderson berpendapat Salah kini berada pada prestasi terbaik menjelang perlawanan akhir dan percaya rakan sepasukannya itu ada sesuatu yang hendak dibuktikan pada pertemuan tersebut.

“Cukup jelas (final tahun lalu) ia amat menghampakan buatnya. Dia telah melakukan apa sahaja untuk ke perlawanan akhir, tetapi pada pengakhirannya dia terpaksa dibawa keluar. Sudah tentu ia satu motivasi besar untuknya kembali ke dalam padang dan membuktikan apa yang dia boleh sumbang dalam perlawanan akhir itu.

“Saya tahu dia tidak sabar untuk beraksi sekali lagi. Sebagai sebuah pasukan, anda berasa ia satu keperluan untuk memujuknya. Sudah tentu dia sangat beremosi kerana tidak dapat menyumbang dalam perlawanan itu seperti mana yang diharapkannya,” kata Henderson kepada media Britain, Daily Mirror. – AGENSI