Timbalan Presiden FAM, Datuk Seri Subahan Kamal, bagaimanapun, berkata, badan induk itu masih belum membuat keputusan dan akan membincangkan isu berkenaan pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pmbangunan Belia FAM dalam tempoh dua minggu lagi.

"Perkara berkenaan memang kita ambil serius kerana kita perlu buat keputusan yang rasional demi masa depan pemain berkenaan," katanya kepada pemberita selepas menutup Program Tiga Nadi anjuran Akademi Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM) dengan kerjasama Persatuan Hoki Selangor di Serdang, dekat sini, hari ini.

Dalam perkembangan sama, Subahan berkata, perancangan FAM untuk menghantar tujuh pemain skuad B-18 untuk menjalani latihan percubaan bersama beberapa kelab Liga Jepun masih belum dimuktamadkan.

"Kita memang ada hantar beberapa nama, tapi sebagaimana yang dimaklumkan, akan ada delegasi FAM yang akan ke Jepun (dalam tempoh terdekat).

"Mungkin kita akan tunggu kepulangan delegasi berkenaan sebelum kita membuat sebarang keputusan," jelas Subahan.

Skuad B-18 negara muncul naib juara Kejuaraan B-18 AFF selepas kalah 0-1 kepada juara empat kali, Australia pada aksi final di Stadium Thong Nhat, Bandaraya Ho Chi Minh, Isnin lalu.

Beberapa pemain skuad berkenaan yang kebanyakan terdiri daripada pemain Akademi Mokhtar Dahari (AMD), dilaporkan menjadi buruan beberapa kelab Liga-M susulan prestasi cemerlang yang dipamerkan mereka pada kejohanan tahunan berkenaan. - BERNAMA