Selain dua tonggak yang sarat dengan pengalaman itu, Persa­tuan Bola Sepak Melaka United (MUSA) turut mengumumkan ketibaan enam nama besar.

Mengetuai senarai R. Gopinathan (Johor Darul Ta’zim (JDT)), Mohd. Nazrin Mohd. Nawi (Perak), Mohd. Razman Roslan (Selangor), Wan Amirul Afiq Wan Abdul Rahman (Felda United), Saiful Ridzuwan Selamat (Selangor) dan Mohd. Raimi Md. Nor (Pulau Pinang).

Bukan sahaja pemain bakal mendapat suntikan ramai bintang, malah skuad Sang Kancil turut memperkuatkan barisan kejurulatihan.

Dua penolong jurulatih, termasuk bekas Ketua Jurulatih Negeri Sembilan, Mohd. Asri Ninggal dan bekas Ketua Jurulatih Kedah, Muhammad Nidzam Adzha Yusoff selain Jurulatih Penjaga Gol, Mazlan Wahid dan Jurulatih Kecergasan, Norhuda Hiroshi antara yang dibawa masuk.

Kesemua pemain baharu menandatangani kontrak semusim bersama pasukan kendalian Zainal Abidin Hassan dalam satu majlis disaksikan Ketua Menteri yang juga Presiden MUSA, Adly Zahari di Seri Negeri, Ayer Ke­roh, hari ini.

Hadir sama Timbalan Pre­siden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang juga Timbalan Presiden MUSA, Datuk Mohd. Yusoff Mahadi dan Setiausaha Agung MUSA, Farhan Ibrahim.

“Diharap usaha berterusan ini dapat membantu Melaka United membina pasukan yang mantap bagi menghadapi Liga Super musim depan.

“Kehadiran pemain berpengalaman juga dilihat mampu membantu dalam memberi dorongan untuk membangunkan sukan bola sepak di peringat negeri ini,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd. Yusoff berkata, langkah menandata­ngani pemain berkualiti dan ternama itu merupakan salah satu perubahan besar dalam pengurusan Melaka United.