Mengakui tidak pernah terlintas untuk menjadi penyumbang gol dalam dua perlawanan di Buriram, Thailand pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu berkata, tindakan pengendali skuad kebangsaan Nelo Vingada yang menggabungkan pemain muda dan senior dalam pertemuan de­ngan Korea Utara merupakan satu tindakan bijak untuk menyediakan barisan pemain muda dengan cabaran pada masa akan datang.

“Dalam fikiran, saya hanya ingin membantu Harimau Malaya, bukan mahu menjaringkan gol semata-mata,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sekembalinya dia bersama pasukan dari Thailand.

“Apa pun yang saya lihat, kami (pemain muda) dalam tempoh dua tiga tahun lagi yang akan mewakili negara. Jadi, tindakan jurulatih menyenaraikan sebahagian daripada kami adalah satu perkara yang positif untuk masa akan datang.

“Banyak yang kami pelajari. Saya yakin dalam tempoh beberapa tahun lagi kita akan bangkit,” kata pemain kelahiran Dungun berusia 20 tahun itu, yang menjaringkan kedua-dua gol ketika Harimau Malaya kalah dalam dua perlawanan menentang Korea Utara masing-masing 4-1 pada Jumaat lalu dan semalam.

Sementara itu, penjaga gol Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy menegaskan, dia tidak pernah serik dengan kekalahan dalam kesemua empat penampilannya bersama Harimau Malaya, sebaliknya yakin kelemahannya mampu diatasi pada masa akan datang.

“Bagi saya itu sebahagian asam garam sebagai pemain bola sepak, ada kalanya kita di atas dan sebaliknya. Apa yang penting saya tidak perlu terus berasa kecewa walaupun sebenarnya saya sedang sedih sekarang,” katanya.

“Banyak kelemahan yang saya jumpa sepanjang empat penampilan. Saya harap saya masih diberi kepercayaan untuk bersama Harimau Malaya. Saya mahu membuktikan yang kita sebenarnya masih kuat,” katanya yang dibolosi 11 gol sepanjang menyarung jersi skuad kebangsaan.