Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin berkata, lesen kelab wajib diperoleh untuk membolehkan sesebuah pasukan beraksi dalam saingan Liga Super.

"Melihat kepada keupayaan pasukan Sabah kini, saya meminta mereka bersedia mengambil lesen berkenaan untuk mengelak sebarang masalah berlaku.

"Apa yang saya lihat, tiada masalah bagi pasukan Sabah mendapatkan lesen kelab, namun, apa pasukan Sabah perlukan adalah untuk layak ke saingan berkenaan," katanya kepada pemberita selepas melakukan kunjungan ke SAFA di sini, hari ini.

SAFA diwakili Timbalan Presidennya, Datuk Rahman Zakaria serta beberapa anggota jawatankuasa persatuan itu.

Mengulas mengenai perjumpaan tersebut, Hamidin berkata, ia adalah misi dan visi beliau untuk berjumpa semua persatuan bola sepak di peringkat negeri sejak menerajui FAM pada 14 Julai 2018.

"Kunjungan ini banyak makna, kita juga memberi penerangan berhubung misi dan visi FAM yang dilancarkan Ogos tahun lepas. SAFA adalah persatuan bola sepak negeri ketiga saya lawati selepas Pulau Pinang dan Kedah.

"Apa yang penting dalam perjumpaan ini, kita mahu persatuan bola sepak negeri seiring dengan FAM," katanya. - BERNAMA