Rusia berada di kedudukan ke-70 dunia mendapat slot automatik apabila menjadi tuan rumah manakala Arab Saudi di tangga ke-67 merupakan pasukan tercorot daripada 31 negara yang menempah tiket ke Piala Dunia menerusi pusingan kelayakan.

Pasukan tuan rumah perlu mencipta kemenangan bagi memastikan harapan mereka untuk melepasi peringkat Kumpulan A menjadi kenyataan dan dijangka Presiden negara itu, Vladimir Putin hadir bagi memberi sokongan moral kepada skuad Sbornaya apabila mereka gagal melakar kemenangan dalam tujuh perlawanan.

Sekiranya gagal mencipta kemenangan, Rusia berpotensi untuk menyertai Afrika Selatan iaitu pasukan tuan rumah gagal melepasi peringkat kumpulan pada 2010. Arab Saudi menjadi pasukan pertama dari Asia beraksi dalam aksi pembukaan.

Dua lagi pasukan dalam Kumpulan A, Mesir dan Uruguay masing-masing mempertaruhkan bintang mereka iaitu Mohamed Salah dan Luis Suarez yang boleh menjadi ancaman kepada pertahanan Rusia serta Arab Saudi.

Arab Saudi tewas dalam tiga perlawanan terakhir mereka namun masih menaruh harapan apabila layak menyertai kejohanan itu buat kali pertama selepas 12 tahun.

Perlawanan itu juga menyaksikan pertembungan dua jurulatih yang memiliki personaliti serta taktikal berbeza. Jurulatih Arab Saudi, Juan Antonio Pizzi gemar menyerang pasukan lawan berbanding rakan sejawatannya, Stanislav Cherchesov yang suka bertahan.

Namun, Pizzi yang menjuarai Copa America bersama Chile berdepan kesukaran untuk menerapkan corak permainan kegemarannya itu bersama Arab Saudi.

Masalah kecederaan membelenggu Rusia apabila penyerang, Alexander Kokorin dan dua pertahanan, Georgy Dzjikiya serta Viktor Vasin cedera di bahagian lutut dan itu memaksa Cherchesov mencari pengganti dan dijangka Fyodor Smolov mengetuai jentera serangan.

Purata umur pemain bagi kedua-dua pasukan adalah 29 tahun - antara tertua dalam kejohanan di mana setiap pasukan mempunyai dua pemain yang memiliki lebih daripada 100 caps. – AP