Ronaldo, 32, turut menunjukkan prestasi terbaiknya apabila buat kali pertama meledak dua gol dalam satu perlawanan La Liga untuk memastikan Los Blancos terus menghambat pendahulu, Barcelona dengan lima mata di belakang.

Menurut portal sukan Sepanyol, Diario Gol, Ronaldo me­ngadakan perbincangan dengan Zidane pada awal minggu ini dan meminta pengurus itu agar mengetepikan Isco daripada ke­sebelasan utama.

Pemain tengah Sepanyol tersebut diletak di bangku simpanan dan diganti dengan Marco Asensio, malah kedudukannya dijang­ka lebih buruk apabila Gareth Bale pulih daripada kecederaan.

Walaupun berdepan krisis pertahanan akibat kecederaan serta penggantungan Raphael Varane, Sergio Ramos dan Dani Carvajal, selain ketiadaan pemain tengah, Casemiro, itu tidak menghalang Real mempamer aksi cemerlang di Santiago Bernabeu.

Kesemua gol tuan rumah di­sempurnakan pada babak pertama menerusi Nacho seawal minit ketiga, diikuti dua gol Ronaldo pada minit ke-23 dan 31 (penalti), Toni Kroos (38) dan Achraf Hakimi (42).

“Saya adalah pemain terbaik dalam sejarah bola sepak dunia dan sentiasa ingat perkara itu,” kata Ronaldo, yang memimpin kemenangan besar pasukannya sehari selepas merangkul anugerah Ballon D’or buat kali kelima.

Bek kiri Real, Marcelo me­negaskan, rakan sepasukannya itu berhak digelar pemain terbaik dunia.

“Cristiano adalah pemain terbaik di dunia. Saya tidak pernah melihat (Diego) Maradona atau Pele bermain (secara langsung), jadi saya tidak tahu bagaimana hendak membuat perbandingan dengan Ronaldo,” katanya. – AGENSI