Mbappe, 20, menjadi inspirasi Perancis menjulang Piala Dunia di Rusia dengan empat gol.

Salah satu jaringannya itu hadir sewaktu menumpaskan Croatia 4-2 dalam perlawanan akhir, dan dia menjadi pemain remaja kedua selepas Pele berbuat demikian pada 1958 dalam kejohanan berprestij tersebut.

Mbappe turut diundi sebagai Pemain Muda Terbaik pada pertandingan itu dan dia kini penjaring terbanyak Liga 1 dengan 11 gol bersama Paris Saint-Germain. Messi serta Ronaldo telah memenangi 10 anugerah Ballon d'Or terakhir dan Mbappe percaya mereka masih pemain gred A yang menghuni kedudukan teratas.

“Tiada siapa yang beraksi lebih baik pada ketika ini dan kita tidak pula boleh berkata era mereka telahpun berakhir kerana ia hanya akan terjadi apabila terdapat pemain yang lebih bagus berbanding mereka berdua,” kata Mbappe kepada AFP.

Bagaimanapun, penyerang muda itu menambah, baik Ronaldo mahupun Messi, mereka tidak akan memenangi anugerah Ballon d’Or pada tahun ini.

“Saya tidak rasa salah seorang daripada mereka akan memenangi Ballon d'Or kerana tahun ini adalah tahun Piala Dunia, dan pertandingan tersebut akan diberi keutamaan,” kata Mbappe.

Pada ketika bakat Mbappe semakin berkembang pada Piala Dunia, Messi yang bermain bersama Argentina dan Ronaldo mewakili Portugal tersingkir di peringkat 16 terbaik.

“Tetapi jika anda menilai pemain daripada segi persembahan paling tulen, tiada yang lebih bagus daripada mereka. Tahun ini mereka masih menjadi pemain terbaik. Messi menamatkan aksinya sebagai penjaring terbaik di pentas Eropah, Ronaldo pula penjaring terbanyak Liga Juara-Juara,” jelas Mbappe.

Mbappe berkata demikian kepada AFP, hari ini, sewaktu ditemui pada majlis pengeluar jam, Hublot, salah satu penaja utama pemain tersebut. Kali terakhir pemain Perancis memenangi Ballon d'Or ialah menerusi Zinedine Zidane selepas skuad kebangsaan Perancis merangkul Piala Dunia pada 1998.

“Terus terang saya katakan, saya memang berharap dapat memenangi anugerah itu. Kami berjaya mencipta satu kejayaan besar. Ia bukan disebabkan ketidakadilan berlaku kerana bagi saya kata-kata itu sesuatu yang keterlaluan, namun, malang rasanya jika pemain Perancis tidak memenangi anugerah itu.

“Kami telah mencipta sejarah dan ia sesuatu yang amat bertepatan jika kami diberi penghargaan,” katanya. - AFP