Pemain antarabangsa Brazil berusia 25 tahun itu dikaitkan dengan perpindahan ke Camp Nou sejak beberapa bulan lalu bagi menggantikan Neymar.

Gergasi bola sepak Sepanyol itu akhirnya mengikat penyerang Perancis, Ousmane Dembele dari Borussia Dortmund, namun Coutinho tetap menjadi sasaran utama jurulatih mereka, Ernesto Valverde.

Ronaldinho, yang pernah menyarung jersi Bacelona dari 2003 hingga 2008 percaya, bekas bintang tengah Inter Milan tersebut mampu memberi kekuatan tambahan kepada Barcelona.

“Saya sangat gembira melihat pemain berbakat sepertinya menyarung jersi yang pernah saya pakai selama beberapa tahun.

“Saya percaya, corak permainannya sangat sesuai untuk Barcelona dan amat gembira jika pemain berkualiti seperti itu menyarung jersi kelab.

“Saya suka dengan cara Coutinho bermain dan gaya bola sepak yang dibawanya. Semua kualiti yang dimiliki itu saya harap dapat membantu Brazil menjuarai Piala Dunia akan datang,” kata Ronaldinho kepada Sky Sports.

Ronaldinho, 37, yang pernah menyarung jersi Barcelona, Paris Saint-Germain dan AC Milan sepanjang zaman kegemilangannya berkata demikian ketika berada di London untuk menonton perlawanan persahabatan England menentang Brazil di Wembley, awal pagi ini.

Dia turut diminta mengulas mengenai skuad England yang menunjukkan potensi besar di bawah jurulatih Gareth Southgate.

“Saya ikuti perkembangan mereka dengan rapat dan boleh melihat ramai pemain muda dibawa masuk ke dalam pasukan.

“Walaupun mereka tidak begitu dikenali sekarang, namun mereka mempunyai bakat dan mampu meningkat.

“England bukan tentang individu tetapi kekuatan satu pasukan. Saya percaya mereka mampu memberi tentangan sengit dalam Piala Dunia 2018,” katanya. - AGENSI