Penjaga gawang Brazil itu dilaporkan tiba di England hari ini bagi menjalani ujian kesihatan untuk menyertai Liverpool de­ngan rekod perpindahan dunia sebanyak 67 juta pound (RM355.5 juta).

Alisson yang dijangka menandatangani kontrak enam tahun bersama naib juara Liga Juara-Juara itu bolos 28 kali dalam 37 penampilan Serie A musim lalu, sekali gus membolehkan Roma menamatkan saingan di tangga ketiga.

Roma sudah kehilangan pemain tengah, Nainggolan kepada Inter Milan, manakala Salah menyertai Liverpool musim lalu, namun bintang penyerang mereka, Perotti menegaskan pasukannya masih mampu memberi cabaran.

“Alisson adalah penjaga gol terpenting kami dan dia banyak menyelamatkan mata penting musim lalu tetapi ini adalah bola sepak.

“Saya katakan kelab ini tidak pernah melakukan kerosakan ke atas diri sendiri, setiap keputusan yang dibuat adalah untuk menjadikan pasukan lebih maju secara keseluruhan. Kita lihat pada penghujung musim ini.

“Memang diakui, Alisson adalah kehilangan besar buat kami kerana dia seorang yang hebat, memainkan peranan penting dalam bilik persalinan selain memiliki perwatakan dinamik, kami sedih melihat dia pergi tetapi ini adalah kehidupan.

“Perkara sama berlaku ke atas Salah dan Nainggolan, Roma akan tetap teruskan perjalanan, jadi kami perlu kekal cemerlang seperti musim lalu,” kata Perotti kepada Sky Sport Italia. – AGENSI