Rodrigo membuka tirai jari­ngan untuk Valencia pada minit ke-19 di Stadium Mestalla yang juga gol keempatnya dalam tiga perlawanan.

Zaza kemudian menggandakan kelebihan selepas setengah jam perlawanan berlangsung sekali gus meledak gol ke-12 untuknya musim ini tetapi Ruben Sobrino mengurangkan defisit pada awal babak kedua.

Bagaimanapun, gol sendiri daripada pertahanan tengah, Victor Laguardia pada minit ke-54 mengesahkan kemenangan keenam daripada tujuh perlawanan terakhir Valencia dalam saingan liga.

Kejayaan itu meletakkan Valencia di atas Real dengan kelebihan dua mata dengan gergasi bola sepak Sepanyol itu masih berpeluang untuk merampas semula kedudukan itu pada pertemuan menentang Girona.

“Mereka bermain dengan baik dan separuh masa pertama sangat luar biasa.

“Kemudian gol pada babak ke­dua (Alaves) mencemaskan kami tetapi kami bangkit dengan pantas menerusi gol ketiga,” kata pengurus Valencia, Marcelino Garcia.

Sementara itu, Real Betis menghampiri tiket ke Liga Europa selepas mencatat kemenangan 3-0 ke atas Espanyol manakala Getafe ketinggalan satu kedudukan di belakang selepas merakam kemenangan 2-1 di Real Sociedad.

Dua kelab yang berada di zon penyingkiran, Deportivo La Coruna dan Las Palmas tidak mengubah situasi mereka susulan keputusan seri 1-1 yang dicatat. – AFP