Sumbangan itu disampaikan oleh Menteri Besar, Aminuddin Harun kepada Presiden PBNS, Tunku Syed Razman Tunku Syed Idrus Al-Qadri yang juga Tengku Besar Tampin pada Majlis Minum Teh Bersama Penaja PBNS di sini.

Aminuddin berkata, sumbangan itu adalah tanda komitmen kerajaan negeri terhadap pembangunan sukan bola sepak di negeri ini terutamanya bagi menjayakan usaha melahirkan bakat baharu untuk ketengahkan ke peringkat lebih tinggi.

Menurutnya, beliau gembira kerana kepimpinan baharu PBNS tidak berdepan dengan masalah kewangan dan mampu menyelesaikan pembiayaan seperti gaji para pemain dan pengurusan pasukan.

"Saya yakin akan ada perubahan besar dalam pasukan bola sepak Negeri Sembilan tahun depan berdasarkan kesungguhan yang ditunjukkan oleh pentadbiran baharu ini," katanya kepada para pemberita selepas majlis tersebut.

Sementara itu, Tunku Syed Razman melahirkan rasa gembira dengan sumbangan kerajaan negeri itu yang akan meletakkan persatuan itu dalam kedudukan selesa bagi menjayakan rancangan pembangunan sukan tersebut.

Jelasnya, selain saingan dalam Liga Malaysia, tumpuan persatuan turut menjurus kepada pembangunan di peringkat akar umbi dan mencari bakat baharu dalam kalangan anak negeri ini. - UTUSAN ONLINE