Kedua-dua pasukan terpaksa bermain di atas permukaan padang yang tidak rata di Moenchengladbach, ekoran cuaca buruk yang menjejaskan padang di Borussia-Park.

Baik Dortmund mahupun Moenchengladbach, mereka berjaya memperoleh peluang di depan pintu gol menerusi Lars Stindl dan Raul Bobadilla di awal permainan, tetapi keadaan permukaan padang yang sebaliknya menjadi fokus perlawanan tersebut setelah Andre Schuerrle tergelincir sehingga menyebabkan pemain itu tercedera.

Selepas mendapatkan raawatan, Schuerrle menjadi perancang bagi membantu jaringan Reus dan sekali gus meletakkan Dortmund di depan pada minit ke-32.

Menerima hantaran jauh yang disempurnakan oleh Mario Goetze, Schuerrle kemudiannya merembat bola tersebut kepada Reus, sebelum pemain itu melepaskan sepakan cantik yang melengkung masih ke pintu gol tuan rumah.

“Saya sebenarnya mahu menyepak bola ke sebelah kiri pintu gol. Tetapi apa yang paling penting, bola itu masuk ke gawang. Kami perlu meneruskan rentak kemenangan seperti hari ini, dan masih banyak kerja yang perlu kami lakukan selepas ini,” kata Reus kepada Sky.

Reus terlepas banyak perlawanan dalam kempen kali ini setelah ditimpa kecederaan cruciate ligament, dan gagal menjaringkan gol buat Dortmund sejak meledakkan dua gol pada perlawanan terakhir, musim lalu.

Sementara itu, dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal, jaringan tunggal Mario Gomez sudah memadai membantu Stuttgart meraih kemenangan sulung di laman lawan dan kekalahan pertama di padang sendiri buat Augsburg sejak Oktober lepas.

“Kami sepatutnya mampu melakar kemenangan dengan tiga atau empat gol, hari ini. Tetapi kami berjaya mempamerkan perwatakan yang hebat, dan menuju ke arah laluan yang betul,” kata Gomez.

Kemenangan tersebut membantu Stuttgart menjarakkan kedudukan kepada empat mata daripada kelompok tiga tercorot, manakala Dortmund melonjak ke tempat kedua dalam carta Bundesliga. - AFP