Bunyi siulan dan ejekan kedengaran daripada 42,189 penonton di dalam stadium di Volgograd yang ternyata kurang berpuas hati terhadap corak permainan mengarut yang dipamerkan pada perlawanan terakhir Kumpukan H itu.

Jepun yang bakal berdepan Belgium di peringkat kalah mati, berjaya mengisi satu lagi slot Kumpulan H selepas perkiraan fair play menerusi jumlah kad kuning yang kurang berbanding Senegal terpaksa dilakukan berikutan kedua-dua pasukan berkongsi mata dan jaringan.

Jepun memungut empat kad kuning tetapi Senegal lebih banyak iaitu enam kad kuning.

Ketika permainan berbaki 10 minit untuk tamat, rentak permainan kedua-dua pasukan kian perlahan seolah-olah seperti di dalam sesi latihan dan jurulatih, Akira Nishino mengakui, dia mengarahkan pemainnya menerima kekalahan 0-1, sebaik mendapat berita Yerry Mina meledakkan gol pada minit ke-74 untuk Colombia.

Nishino memuji anak-anak buahnya kerana mematuhi arahan negatif tersebut.

“Kami memutusan untuk tidak melancarkan serangan dan bergantung kepada keputusan perlawanan satu lagi,” kata Nishino.

Jepun berjaya melayakkan diri ke peringkat kalah mati buat kali ketiga dalam sejarah Piala Dunia mereka, tetapi sewaktu Jan Bednarek meledakkan gol pertamanya di pentas antarabangsa pada minit ke-59 untuk Poland yang telahpun tersingkir, Colombia dan Senegal pula kekal 0-0. Keputusan tersebut bakal meletakkan Jepun menjadi pasukan Asia terakhir yang tersingkir daripada saingan peringkat kumpulan. Bagaimanapun, secara tiba-tiba Colombia muncul juara kumpulan dan Jepun berada di depan Senegal, meskipun berkongsi mata dengan jaringan dan jumlah gol yang sama, tetapi rekod fair play pasukan Afrika itu kurang baik. – AFP