“Real Madrid mengumumkan bahawa Julen Lopetegui akan menjadi jurulatih pasukan utama untuk tempoh tiga musim akan datang,” kata pemenang Liga Juara-Juara itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Kelab itu menambah, jurulatih berusia 51 tahun tersebut akan menyertai kelab selepas penyertaan Sepanyol pada Piala Dunia.

Lopetegui akan menggantikan Zinedine Zidane sebagai jurulatih di Santiago Bernabeu, selepas warga Perancis itu meletakkan jawatan pada 31 Mei lalu sebaik sahaja Real melakar kemenangan ke atas Liverpool dalam perlawanan akhir Liga Juara-Juara di Kiev.

Berita tersebut ternyata mengejutkan Sepanyol, hanya tiga hari sebelum perlawanan pembukaan Piala Dunia menentang Portugal di Sochi. Lopetegui dan pasukan Sepanyol kini berada di pangkalan latihan dekat Krasnodar.

Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF) mengesahkan bahawa Real akan membayar pampasan bagi mendapatkan khidmat Lopetegui memandangkan jurulatih tersebut masih memiliki baki kontrak selama dua tahun bersama skuad kebangsaan. Dia baharu sahaja menyambung kontraknya sehingga 2020, bulan lalu.

“REEF akan menerima bayaran berdasarkan klausa pelepasan, jadi jurulatih kebangsaan itu boleh menyertai Real Madrid,” jelas REEF dalam satu kenyataan yang dikeluarkan.

Sepanyol antara pasukan pilihan untuk memenangi Piala Dunia selepas mereka mempamerkan persembahan sempurna sepanjang kempen kelayakan, dan Presiden REEF, Luis Rubiales amat berharap, pengumuman tersebut tidak akan menjejaskan persiapan skuad Sepanyol sebelum pertandingan bermula.

Skuad bimbingan Lopetegui turut membabitkan enam pemain Real iaitu Dani Carvajal, Sergio Ramos, Nacho Fernandez, Marco Asensio, Isco dan Lucas Vazquez.

“RFEF memohon kepada mana-mana pihak agar menghormati dalam usaha mengekalkan suasana normal di dalam skuad kebangsaan yang sedang bersiap sedia untuk mengharungi perlawanan pembukaan menentang Portugal,” jelas REEF. - AFP