Kekalahan itu menyebabkan Real yang ketika ini ber­ada di tangga keempat La Liga ketinggalan 14 mata di belakang Barcelona.

“Kami bermula baik, melakukan percubaan namun tidak berupaya mendapatkan jaringan.

“Pada babak kedua, kami sekali lagi bermula baik, namun melakukan kesilapan di bahagian pertahanan hingga membenarkan lawan menjaringkan gol dan ia membuatkan perlawanan menjadi sukar.

“Bermain dengan 10 pemain ketika kedudukan 0-2 amat sukar secara fizikal dan mental. Ini adalah kekalahan yang sangat menyakitkan dan membuatkan semangat kami jatuh tetapi kami harus hadapi,” kata pengurus Real, Zidane.

Dalam perlawanan itu kedua-dua pasukan mempamer aksi seimbang pada babak pertama, namun semuanya berubah ketika separuh masa kedua.

Gol Barcelona dijaringkan Luis Suarez pada minit ke-54, Lionel Messi (sepakan penalti minit ke-64) serta Aleix Vidal pada waktu kecederaan.

Layangan kad merah yang diterima pertahanan Real, Daniel Carvajal pada minit ke-63 jelas merencatkan rentak Real di depan penyokong sendiri.

Sementara itu, media Sepanyol melancarkan serangan terhadap Karim Benzema atas kekalahan ketiga yang dialami Real musim ini dengan menganggap sudah tiba masanya penyerang Perancis itu dilepaskan.

Akhbar yang berpangkalan di Madrid, Marca berkata, sudah terlalu lama Real ‘menyimpan’ Benzema, 30, biarpun dia me­ngalami kemerosotan prestasi dengan hanya menjaringkan lima gol musim ini.

“Dia menyepak bola ke palang (enam kali) lebih banyak daripada menjaringkan gol. Sudah cukup. Benzema tidak cukup bagus untuk Real Madrid,” tulis Marca. – AGENSI