Pengendali berusia 46 tahun itu turut berikrar untuk melaksanakan tanggungjawabnya dengan lebih baik, sekurang-kurangnya dalam saingan La Liga, berbanding apa yang dilakukannya sebelum ini.

Bercakap dalam sidang akhbar pertamanya sejak menandatangani perjanjian baharu yang akan mengikatnya bersama Real sehingga 2022, Zidane berkata: “Sewaktu saya meninggalkan Real ia memang waktu yang tepat. Saya ada menerima beberapa tawaran sejak itu, tetapi saya mahu kekal di Madrid.

“Reaksi pertama saya sewaktu presiden menghubungi saya ialah untuk pulang ke pangkuan Real. Maka di sinilah saya berada.”

Sewaktu ditanya mengapa dia meninggalkan kelab itu pada musim panas lalu, Zidane masih memberikan alasan sama yang pernah dinyatakannya sewaktu meninggalkan Real sembilan bulan lepas.

“Saya meninggalkan kelab kerana saya berpendapat skuad memerlukan perubahan selepas memenangi segala-galanya. Saya kembali kerana presiden menghubungi saya. Saya gembira dapat pulang, tetapi tanggungjawab berat menanti saya kerana ramai orang sayangkan kelab ini.

“Kami memenangi Liga Juara-Juara, musim lepas, tetapi kami tewas dalam saingan liga dan juga Piala Raja Sepanyol. Saya menerajui kelab sewaktu semua itu terjadi. Saya tahu apa kesilapan saya, musim lalu, dan saya akan memberikan yang terbaik bagi memastikan pasukan mempamerkan aksi lebih bagus kali ini,” ujarnya. – AGENSI