Penyerang Brazil itu meninggalkan Barcelona untuk menyertai PSG dengan rekod dunia 222 juta euro (RM1.076 bilion) pada Julai lalu.

Bagaimanapun khabar angin bertiup kencang mengatakan Neymar, 25, mungkin kembali ke La Liga dan Real sedia membuat pertukaran.

Radio Sepanyol, Cadena SER melaporkan, Perez begitu ‘taksub’ dengan Neymar dan akan mengorak langkah sebaik sahaja tamat Piala Dunia 2018 di Rusia (14 Jun hingga 15 Julai) dengan menawarkan Ronaldo serta sejumlah ‘wang yang sangat besar’.

Presiden Los Blancos itu malah pernah cuba mendapatkan Neymar ketika pemain tersebut menyuarakan hasrat untuk meninggalkan Barcelona, namun Perez sedar melakukan urus niaga secara terus dengan musuh ketat mereka adalah sesuatu yang mustahil.

Akhbar Marca pula melaporkan, Los Blancos percaya tahun 2019 adalah waktu terbaik untuk memuktamadkan perjanjian kerana mahu menjaga hubungan baik dengan pemilik PSG, Nasser Al-Khelaifi.

Terdapat beberapa faktor yang memberi keyakinan kepada Real untuk melakukan pembelian paling kontroversi dalam sejarah.

Dalam majlis gala Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA), Oktober lalu kapten Brazil itu dilihat duduk bersebelahan wakil Real, malah turut dilihat bertemu duta juara La Liga itu beberapa hari lalu.

Bagaimanapun, perpindahan tersebut pastinya rumit dan Real memerlukan masa untuk menyelesaikan beberapa isu secara terperinci.

Dalam perkembangan lain, pengendali Real, Zinedine Zidane mengakui, keyakinan pasukannya ketika ini semakin goyah selepas mengalami kejutan terbaharu, tumpas 0-1 kepada Villarreal di depan penyokong sendiri.

Jaringan Pablo Fornals menerusi serangan balas pada minit ke-87 membuatkan ribuan penyokong di Santiago Bernabeu terdiam, sekali gus menyebabkan Real semakin jauh ditinggalkan dengan 16 mata di belakang pendahulu, Barcelona.

“Ia sangat menyukarkan untuk keyakinan.

“Kami memperoleh beberapa peluang tetapi di akhir permainan...kami gagal mengelak serangan balas dan...ia sesuatu yang teruk untuk semua pemain.

“Apa yang perlu kami lakukan sekarang adalah terus bekerja kerana ada banyak lagi menanti dan kami perlu bersedia.

“Kami harus buang semua perkara negatif yang membayangi pasukan ketika ini dan ubah ia menjadi sesuatu yang positif,” kata Zidane kepada pemberita dalam sidang akhbar. - AGENSI