Pemain tengah Perancis itu disifatkan sebagai mementingkan diri sendiri kerana berkeras untuk mengambil sepakan biarpun Marcus Rashford sepatutnya melakukan tendangan.

Pada kedudukan terikat 1-1, United dihadiahkan sepakan penalti selepas Pogba dijatuhkan oleh pertahanan lawan, Conor Coady.

Peminat menjangkakan Rashford akan mengambil sepakan itu selepas dia mengutip bola tetapi selepas bercakap dengan Daniel James, dia kemudian membaling bola tersebut kepada Pogba. 

Pogba kemudian melakukan tendangan bertenaga tetapi diselamatkan oleh Rui Patricio untuk kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat permainan.

Ini kali keempat Pogba gagal menyempurnakan sepakan penalti dalam Liga Perdana sejak musim lalu.

"Paul meminta untuk mengambil sepakan itu.

"Dia sudah menjaringkan banyak gol menerusi penalti dan adalah perkara biasa jika sesekali terlepas jaringan. Sesiapa sahaja boleh melakukan pekara sama.

"Ia mudah saja, kalau kamu nak ambil tendangan, ambil sahaja. Saya melakukan sepakan minggu lalu dan tiada masalah kalau dia pula mengambil giliran itu kali ini," kata Rashford.

Pengurus United, Ole Gunnar Solskjaer pula menegaskan, tugas mengambil sepakan penalti memang dikongsi bersama oleh Pogba dan Rashford.

Dalam aksi di Stadium Molineux itu, United terlebih dulu membuka jaringan menerusi Anthony Martial pada minit ke-27, namun Ruben Neves membalas menerusi rembatan cantik di minit ke-55. - AGENSI