Rashford menyinar sewaktu menjaringkan gol pembukaan dalam aksi pemanas badan menentang Costa Rica, minggu lepas, tetapi England amat berharap dia dapat kembali cergas sebelum perlawanan pembukaan bertemu Tunisia, Selasa minggu depan, dengan Southgate memberitahu, masalah yang melanda Rashford hanyalah kecederaan ringan.

“Kecederaan yang menimpa Marcus tidak terlalu serius, jadi kami akan menilai masalah tersebut sebelum sesi, esok, yang dibuka kepada orang ramai untuk menyaksikan latihan kami.

“Tetapi selain itu, semua pemain berada dalam keadaan baik. Sepanjang tiga minggu ini, kami benar-benar berpuas hati dengan 23 pemain yang dipilih sepanjang sesi latihan yang telah dijalankan,” kata Southgate kepada BBC sebaik England tiba di St Petersburg.

Selapas terbang ke Saint Petersburg, England menuju ke pangkalan latihan yang terletak di bandar tepi pantai, Repino kira-kira 45 kilometer dari bandar.

Selain Tunisia, England juga akan berdepan pendatang baharu Piala Dunia, Panama dan pasukan pilihan, Belgium dalam saingan Kumpulan G.

“Kami amat teruja dapat berada di sini. Kami berharap dapat segera menyesuaikan diri bagi memulakan persiapan menjelang perlawanan pembukaan. Ini Piala Dunia, memang selalunya akan ada tekanan, perasaan gementar dan keterujaan.

“Bagi kami pula, ini semua melibatkan kerja keras dan berlatih bersunguh-sungguh sehingga perlawanan tiba, dan selepas itu, kami akan masuk ke padang serta menikmati keseronokan bermain,” kata kapten England, Harry Kane.

Ketibaan England di hotel mereka diiringi dengan kawalan keselamatan yang ketat dan kehadiran media.

Bagaimanapun, terdapat beberapa penduduk tempatan yang hadir bagi mengalu-alukan ketibaan pasukan di pangkalan latihan, selain sekumpulan kecil anak muda yang begitu berminat menyaksikan sendiri kelibat beberapa bintang Liga Perdana Inggeris. - AFP