Bek tengah yang sering mencetuskan kontroversi itu mengkritik pengadil selepas pasukannya tumpas 0-2, dan melabel keputusan pegawai perlawanan sebagai satu skandal. Real terus keciciran dalam pemburuan gelaran La Liga, selepas Vinicius Junior dinafikan sepakan penalti dan Lucas Vazquez pula dilayangkan kad merah.

Vazquez menerima kad kuning kedua sewaktu Real ketinggalan 0-1 dalam babak kedua permainan, sebelum Vinicius terjatuh ketika cuba melepasi kawalan penjaga gol Sociedad, Geronimo Rulli.

Selepas perlawanan berak­hir, Ramos secara terbuka menyembunyikan rasa jengkelnya terhadap pengadil Sepanyol, Jose Munuera dan ketiadaan VAR pada perlawanan itu.

“Pengadil memainkan peranan besar dalam perlawanan ini. Saya sering mempertahankan sistem VAR, tetapi penggunaannya perlulah ditingkatkan kerana kita tidak mahu menyaksikan satu skandal bola sepak.

“Vinicius sepatutnya diberikan penalti, pengadil perlu merujuk kepada VAR. Selepas melihat insiden itu dalam bilik persalinan, kami semua mempersoalkan tentang keadilan. Ada masanya kita akan dihukum kerana tingkah laku di dalam padang dan pengadil juga perlu melakukan perkara sama.

“VAR telah disediakan, tetapi anda perlu tahu menggunakannya dan merujuk kepada sistem itu. Kami berjuang untuk memburu gelaran, tetapi ia semakin sukar apabila insiden sebegini berlaku. Selaku kapten, saya selalu cuba membantu pengadil, tetapi malam ini (awal pagi waktu Malaysia) prestasi yang dipamerkan pengadil satu skandal.

“Keputusan Vazquez dibuang padang cukup keras. Tidak pernah saya menyaksikan pemain dilayangkan kad kuning disebabkan kesalahan sedemikian, di mana anda berada di tengah padang dengan tiga pemain Real Madrid berada di sekeliling anda,” kata Ramos.

Dua gol kemenangan Sociedad dijaringkan Willian Jose menerusi sepakan penalti seawal minit ketiga dan Ruben Pedro pada minit ke-83. Real yang kini menghuni tangga kelima keciciran 10 mata di belakang pendahulu La Liga, Barcelona yang meraih kemenangan 2-1 ke atas Getafe. – AGENSI