Beraksi di depan 60,000 penonton tuan rumah langsung tidak menggentarkan anak-anak buah Tan Cheng Hoe untuk mengikat juara lima kali, Thailand 2-2 dan layak final buat kali keempat menerusi peraturan gol di tempat lawan.

Ketika Malaysia sudah di ambang kemenangan, Syahmi Safari mencemaskan penyokong apabila bola tendangan pemain lawan terkena tangan kirinya menyebabkan pengadil menghadiahkan penalti.

Mujurlah sepakan Adisak tersasar, sekali gus menghidupkan harapan Harimau Malaya untuk memburu kejuaraan kedua selepas 2010.

Malaysia, yang turut mara ke final 2014 dan 1996 akan menentang sama ada Vietnam atau Fi­lipina, yang berentap dalam satu lagi separuh akhir esok.

Dalam aksi di Stadium Rajamangala hari ini, tuan rumah membuka jaringan seawal minit ke-21 selepas bola tendangan Thitiphan Puangjan terkena pemain gantian, Irfan Zakaria.

Begitupun, Syahmi me­nyamakan kedudukan menerusi rembatan cantik dari luar kotak penalti pada minit ke-28.

Bersambung babak kedua, Malaysia dikejutkan dengan jaringan kedua Thailand hasil percubaan Pansa Hemviboon pada minit ke-63.

Cheng Hoe kemudian mengeluarkan Safawi pada minit ke-67 diganti dengan Akyhar Rashid, hasilnya Norshahrul Idlan Talaha menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-71 selepas menerima hantaran daripada Syamer Kutty. Ini gol kelima Norshahrul dalam kempen Piala AFF 2018.

Final Piala AFF akan berlangsung secara timbal balik pada 11 dan 15 Disember.