Terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam sebahagian besar perlawanan selepas Juan Bernat dibuang padang pada minit ke-36 nyata menjejaskan PSG.

Kekalahan itu bagaimanapun tidak menggugat kedudukan mereka sebagai pendahulu Ligue 1, sebaliknya ia hanya menunda hajat PSG untuk meraikan kejuaraan lebih awal.

Dalam  perlawanan di Stade Pierre-Mauroy, PSG dinafikan peluang mendahului dua gol pada babak pertama selepas dua jaringan Kylian Mbappe dibatalkan kerana ofsaid.

Tuan rumah sebaliknya membuka jaringan seawal minit ketujuh menerusi gol sendiri Thomas Meunier.

PSG tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan menerusi Bernat pada minit ke-11, namun permainan mula menjadi tidak seimbang selepas Bernat dilayangkan kad merah kerana mengkasari Nicolas Pepe.

Lille memanfaatkan kelebihan itu dengan menambah empat gol pada separuh masa kedua menerusi Pepe (minit ke-51), Jonathan Bamba (m65),  Gabriel (m71) dan Jose Fonte pada minit ke-84.

Meskipun kalah besar, PSG terlalu ampuh mengatasi Lille dengan kelebihan 17 mata, dan hanya menunggu masa untuk menjulang gelaran liga.

Ini adalah minggu kedua berturut-turut PSG dinafikan peluang untuk mengesahkan trofi lebih awal selepas seri 2-2 dengan Strasbourg, minggu lalu. - AGENSI