Dengan kelebihan tempat sendiri dan rekod menyebelahi Perancis berdasarkan kejuaraan mereka dalam dua kejohanan utama sebelum ini sebagai tuan rumah, skuad Les Bleus boleh dikatakan sebagai pasukan paling mahu dielakkan oleh Portugal.

Perancis telah menang 10 kali berturut-turut ke atas Portugal sebelum ini sejak tewas 2-0 dalam satu perlawanan persahabatan pada tahun 1975 dan keputusan tiga perlawanan antara mereka dalam kejohanan utama sebelum ini juga memihak kepada Les Bleus.

Salah satu perlawanan tersebut adalah kemenangan 3-2 Perancis ketika menjadi tuan rumah ke atas Portugal pada masa tambahan dalam aksi separuh akhir Euro 1984 di Marseille.

Perlawanan yang berbaki seminit pada masa tambahan itu menyaksikan Michel Platini menjaringkan gol kemenangan Perancis yang akhirnya menjadi juara apabila menewaskan Sepanyol dalam final untuk membolehkan Les Bleus menjulang trofi Henri Delaunay kali pertama dalam sejarah pasukan itu.

“Terlalu sedih dan kecewa dengan keputusan itu. Hingga hari ini pun, adalah amat memedihkan untuk bercakap mengenai perlawanan tersebut,” kata Jaime Pacheco yang merupakan pemain Portugal yang tewas kepada Perancis di peringkat separuh akhir kejohanan berkenaan.

Dalam separuh akhir Euro 2000 pula, Portugal yang dibintangi oleh Luis Figo dan Rui Costa di Brussels juga kalah kepada Perancis.

Nuno Gomes yang menghasilkan gol pertama Portugal ditenggelamkan oleh jaringan penyamaan Thierry Henry dan gol emas oleh Zinedine Zidane menerusi sepakan penalti, tiga minit sebelum tamat masa tambahan.

Kekecewaan sekali lagi menghantui Portugal dua tahun kemudian apabila mereka yang menjadi tuan rumah Euro 2004 skalah kepada Perancis dalam separuh akhir. – AFP