Selepas Solskjaer mengambil alih tugas pengurus daripada Jose Mourinho, Pogba dilihat terus cemerlang termasuk meledak dua jaringan ketika menentang Fulham untuk merekodkan kemenangan ke-10 dalam rekod 11 perlawanan tanpa kalah.

Persembahan semasa pemain Perancis itu jelas berbeza berbanding di bawah kendalian Mourinho dan pengendali sementara, Solskjaer nyata gembira dengan prestasi semasa pemain itu.

Keputusan cemerlang yang diraih United ketika ini menyaksikan Solksjaer berada di landasan tepat untuk mendapatkan jawatan yang disandangnya kini secara tetap.

“Paul masih muda dan dia adalah pemenang Piala Dunia.

“Saya pasti dia akan terus memperbaiki prestasinya dan setakat ini saya gembira untuk melatihnya.

“Saya tidak berminat untuk membandingkannya dengan pemain lain tetapi saya tahu dia berada pada tahap terbaik dan tempat yang baik ketika ini.

“Dia adalah pemain menyerang, apabila dia berada dalam kotak penalti, peluang dia untuk menjaringkan gol atau membantu menjaringkan gol sentiasa ada,” kata Solksjaer.

United akan menerima kunjungan Paris Saint-Germain (PSG) dalam saingan kalah mati Liga Juara-Juara, Rabu ini sebelum bertemu Chelsea dalam aksi Piala FA.-AGENSI