Pengurus kelahiran Argentina itu menjadi calon utama untuk menggantikan Zinedine Zidane yang meletak jawatan sejurus selepas membantu Real menjulang kejuaraan hatrik Liga Juara-Juara, minggu lalu.

Pochettino, 46, yang baru menandatangani kontrak lima tahun bersama Spurs minggu lalu berkata, dia komited dengan kelab bimbingannya ketika ini, namun tetap bersikap ‘buka pintu’ kepada sebarang potensi perpindahan, bergantung kepada pengerusi kelab, Daniel Levy.

“Apabila Real Madrid menghubungi anda, maka anda kena dengar apa yang mereka mahu katakan.

“Begitupun dalam kes ini, ia tidak bergantung kepada saya. Saya sudah menandatangani kontrak jangka panjang dengan Tottenham dan sangat gembira di sini.

“Saya gembira di Tottenham kerana mereka membenarkan saya bekerja mengikut cara saya dan kami membangun bersama,” kata Pochettino kepada akhbar Sepanyol, El Confidencial.

Begitupun ketika ditanya berulang kali oleh pemberita apakah berkata ‘tidak’ kepada Real adalah perkara yang sukar untuk dilakukan, Pochettino berkata: “Mungkin tidak pada anda, tetapi bukan pada saya”. - AGENSI