Sultan Sharafuddin menerima penajaan tersebut di Istana Alam Shah dalam satu majlis minum petang bersama 15 syarikat tajaan termasuk kerajaan Selangor serta syarikat milik kerajaan (GLC) negeri.

Majlis minum petang itu turut dihadiri Menteri Besar, Amirudin Shari; Ketua Polis Negara, Datuk Seri Abdul Hamid Bador; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo; Pengerusi Piala Sultan Selangor 2019, Tan Sri Abdul Karim Munisar dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Mohd. Amin Ahmad Ahya.

Kerajaan Selangor menerusi Perbendaharaan Negeri dan GLC negeri antaranya Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS); Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB); Kumpulan Darul Ehsan Berhad (KDEB) Waste Management; Worldwide Holdings Berhad; dan Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) menaja sebanyak RM579,999.99

Selain itu, antara syarikat yang turut menghulurkan penajaan adalah penaja utama, Tanjung Balai Group berjumlah RM300,000; Kingsley Seeds Foundation; Everspring Land Sdn. Bhd.; EcoWorld Development Group Berhad; Nirvana Memorial Park; Aiman Platinum Sdn. Bhd. dan Setia Awan Group masing- masing berjumlah RM50,000.


Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah (enam kiri) berkenan bergambar bersama penaja- penaja Piala Sultan Selangor selepas  Majlis Penyerahan Cek replika sumbangan 'The Sultan Selangor's Cup 2019' bertempat di Istana Alam Shah Klang disini hari ini.Turut sama Pengerusi merangkap Pengurus Pasukan Piala Sultan Selangor (TSSC) , Tan Sri Abd Karim Munisar (tujuh kiri), Menteri Komunikasi dan Multimedia, Gobind Singh Deo (enam kanan) dan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari (lima kiri). 

Malah, buat julung kalinya juga, Piala Sultan Selangor pada kali ini menawarkan pelbagai cabutan bertuah untuk peminat bola sepak iaitu kereta Honda City, Motosikal Harley Davidson 833 Iron dan penginapan tiga hari dua malam di Marriott Kota Kinabalu.

Pada masa sama, Radio Televisyen Malaysia (RTM) juga dilantik sebagai penyiar rasmi bagi perlawanan Piala Sultan Selangor.

Piala Sultan Selangor yang akan berlangsung pada 24 Ogos nanti akan dimulakan dengan perlawanan Cabaran Piala Sekolah Singapura-Selangor bawah 15 tahun pada pukul 5.30 petang yang akan dirasmikan oleh Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Perlawanan seterusnya pula membabitkan pasukan veteran pada pukul 8 malam sebelum berlangsungnya perlawanan utama sejam kemudian.

Sementara itu, Abdul Karim ketika ditemui berkata, pihaknya menyasarkan jumlah tiket yang akan terjual pada hari perlawanan adalah melebihi 40,000 tiket.

“Kita ingin mengingatkan kepada penonton supaya menyimpan tiket yang dibeli bagi membolehkan mereka menuntut hadiah cabutan bertuah.

“Selain mempamerkan di skrin stadium, kita juga akan meletakkan nama pemenang di laman sosial Facebook rasmi, The Sultan of Selangor’s Cup dalam tempoh dua minggu,” ujarnya.

Peminat boleh membeli tiket perlawanan Piala Sultan Selangor yang berharga RM10 pada tarikh perlawanan atau beberapa lokasi iaitu di Uncle K, SACC Mall, Paradigm Mall, Kelana Jaya dan Cyberjaya sebulan sebelum tarikh perlawanan. - UTUSAN ONLINE