Tuan rumah terlebih dahulu menguji pelawat apabila Muhd. Danial Amier Norhisham melakukan rembatan jauh namun bola singgah di palang gol pada minit ke-4.

Pelawat terpaksa membuat gantian pemain seawal minit ketujuh apabila W. Ahmad Amirzafran W. Nadris mengalami kecederaan untuk digantikan oleh Nasrullah Haniff Johan.

Kemasukan Nasrullah ternyata tepat pada masanya apabila beliau membuka tirai jaringan TFCI seminit kemudian selepas menerima hantaran Lee Tuck.

Tuan rumah mempunyai peluang keemasan menyamakan kedudukan pada minit ke-10 namun tendangan Muhamad Zahril Azri Zabri terkena tiang gol.

Kedua-dua pasukan kemudian saling membuat serangan untuk mendapatkan jaringan namun kedudukan 1-0 kekal hingga ke bilik persalinan.

Pemain tengah tuan rumah berpeluang merapatkan jurang apabila babak kedua bersambung namun tendangannya sedikit keluar di sebelah kanan pintu gol pelawat pada minit ke-52.

Penjaga gol TFCI, M. Sufian Rahman Kungi Raman akhirnya kecundang pada minit ke-55 apabila sepakan Gilberto Fortunato menerjah jaring untuk kedudukan 1-1.

Sorakan penyokong TFCI bergema lagi apabila Tuck menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-80 bagi memastikan kemenangan milik skuad kendalian Irfan Bakti Abu Salim. - UTUSAN ONLINE