Pertahanan tinggi lampai Lang Merah, Renan Alves meletakkan Kedah di hadapan seawal minit kedua apabila berjaya menguis masuk bola di hadapan gawang PJ City hasil sepakan penjuru Baddrol Bakhtiar.

Bagaimanapun, Renan dilayangkan kad kuning apabila bertindak membuka jersi ketika meraikan jaringannya bersama rakan sepasukan.

Tersentak dengan jaringan itu, barisan serangan PJ City cuba menggandakan asakan untuk memburu gol penyamaan, namun ketangkasan penjaga gawang Kedah, Ifwat Akmal Chek Kassim berjaya menepis beberapa percubaan berbahaya.

Kedah di bawah kendalian Penolong Jurulatih, Victor Andrag turut melakukan beberapa serangan balas namun percubaan demi percubaan tidak membuahkan hasil.

Memasuki masa tambahan separuh masa pertama, Renan sekali lagi hampir mencetak nama selaku penjaring tetapi percubaannya sedikit melewati palang gol PJ City sebelum pengadil, Wan Mohamad Tarmizi Wan Ibrahim meniupkan wisel penamat babak pertama.

Sembilan minit aksi separuh masa kedua bermula, Zaquan Adha Abd. Razak menceriakan lebih 7,000 penyokong tuan rumah apabila larian solonya dari sebelah kiri pintu gol PJ City berjaya menendang masuk bagi menewaskan penjaga gol lawan Mohd. Muhaiman Mohamad.

Pasukan pelawat yang melakukan beberapa pertukaran termasuk membawa masuk bekas penyerang kebangsaan, Safee Sali pada minit ke-56 dilihat tidak mampu menghalang kemaraan tuan rumah sebelum kemenangan berpihak kepada Kedah dengan jaringan 2-0. -UTUSAN ONLINE