Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Keusahawanan negeri berkata, setiap tiket tersebut tetap perlu dibayar seperti biasa sebelum pihak-pihak yang disenaraikan berhak membuat edaran masing-masing.

ASMIRUL ANUAR ARIS
ASMIRUL ANUAR ARIS 

“Contohnya, saya sendiri perlu membeli tiket yang dikhaskan itu sekiranya mahu diberikan kepada penyokong Lang Merah di kawasan saya, tidak ada lagi istilah percuma seperti yang diamalkan dahulu.

“Malah, perkara ini juga tidak sepatutnya timbul apa-apa isu memandangkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Penjualan Tiket semalam pun, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) turut ada bersama-sama kita,” katanya ketika ditemui di pejabatnya hari ini.

Semalam, KFA dalam satu kenyataan memaklumkan, 20,000 keping tiket akan dijual di kaunter Stadium Darul Aman bermula pukul 10.30 pagi, 23 Julai ini, manakala baki 10,000 keping tiket yang diagihkan oleh Malaysian Football League (MFL) dikhususkan kepada golongan kenamaan dan beberapa pihak lain.

Bagaimanapun, timbul tanda tanya dan perdebatan dalam media sosial oleh para peminat berhubung peruntukan khas sebanyak 10,000 keping tiket berkenaan.

Selain golongan kenamaan, turut disenaraikan dalam kuota khas itu adalah pembesar negeri, penaja-penaja, ahli eksekutif, ahli gabungan dan pasukan-pasukan seperti Piala Presiden, futsal dan pasukan bola sepak wanita.

Mengulas lanjut, Asmirul Anuar berkata, pihaknya akan mengutamakan para peminat dan penyokong untuk mendapatkan tiket tersebut dan yakin jumlah 20,000 keping itu mencukupi untuk penduduk negeri ini berkunjung ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ).

“Cuma yang menjadi kerisauan kita sama ada tiket tersebut akan habis dijual memandangkan trend kehadiran penonton ke stadium sejak kebelakangan ini yang menurun iaitu tidak sampai 10,000 orang bagi setiap perlawanan di Stadium Darul Aman.

“Tetapi, apa-apa pun kita telah berjaya meningkatkan jumlah tiket untuk dijual di kaunter daripada 9,000 keping dahulu kepada 20,000 keping kali ini yang jauh lebih banyak,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, ujar Asmirul Anuar, beliau telah mengarahkan sekretariat jualan tiket membuka semaksimum kaunter jualan bagi memudahkan orang ramai, selain menyediakan kaunter khas untuk tempahan rombongan yang menaiki bas atau van. - UTUSAN ONLINE