Dengan dibantu penyokong tempatan yang penuh sesak di dalam Stadium Parc des Princes, skuad Les Bleues turun tanpa ada rasa belas kasihan ke atas Korea apabila dengan mudah mendahului 3-0 di babak pertama.

Eugenie Le Sommer lebih dulu membuka jaringan diikuti dua gol lagi selepas itu menerusi pemain paling tinggi pada pertandingan kali ini, Renard sebelum permainan berhenti rehat.

Ketua pasukan, Amandine Henry kemudiannya mengambil giliran dengan gol keempat yang disifatkannya impian sejak kecil kini sudah pun menjadi kenyataan.

"Kami bermula dengan cara yang betul. Lagu kebangsaan menaikkan semangat kami walaupun ia hampir menitiskan air mata pemain. Emosi kami tiba-tiba memuncak,” kata Henry selepas perlawanan.

Kemenangan itu turut disaksikan Presiden Perancis, Emmanuel Macron dan isterinya, Brigitte dengan hadir di stadium bersama dengan Presiden FIFA, Gianni Infantino. - AFP