Timbalan Presiden PFA yang menjalankan tugas Presiden, Mohd. Abdul Karim Khan Mansor Ahmad Khan berkata, peguam PFA telah mengeluarkan notis mengenainya pada 18 Mac lalu dan memberi tempoh dua minggu kepada Ahmad Amizal menjawab tuntutan itu.

Katanya, tindakan itu diambil berikutan Ahmad Amizal telah melakukan pelbagai kerosakan sehingga menyebabkan Singa Utara disingkirkan daripada Liga Malaysia 2019.

"Tuntutan ini juga selepas Ahmad Amizal melanggar perjanjian penajaan kepada PFA.

"Turut menerima tempias daripada tindakan Ahmad Amizal itu adalah pasukan Piala Presiden dan Belia Perlis yang tidak dibenarkan beraksi oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM)," katanya dalam satu kenyataan di sini malam ini.

Ahmad Amizal yang dilantik sebagai Presiden PFA pada Oktober lalu telah melepaskan jawatannya bulan lalu selepas melakukan kerosakan terhadap bola sepak Perlis termasuk gagal melunaskan gaji pemain.

Sementara itu, Abdul Karim berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan mengadakan mesyuarat agung bulan depan bagi memilih presiden baharu yang mampu menerajui dan menyelesaikan segala tunggakan hutang bernilai RM4 juta.- UTUSAN ONLINE