Pada 2015, Jepun yang dianggotai Kamagai muncul sebagai pemenang pada separuh akhir di Kanada, yang menyaksikan jaringan sendiri Laura Bassett pada minit terakhir permainan membolehkan pasukan negaranya melakar kemenangan 2-1 ke atas pemenang pingat gangsa, England, manakala skuad Nadeshiko tewas 2-5 kepada Amerika Syarikat dalam perlawanan akhir.

Sebelum itu, England mencatat kemenangan 2-0 dalam saingan peringkat kumpulan di Jerman pada 2011, tetapi pada ketika itu, Jepun dinobatkan selaku pemenang Piala Dunia, manakala England tersingkir dalam suku akhir.

Bagaimanapun, pada ketika itu, Bronze masih belum melakukan penampilan antarabansga di peringkat senior dan bek kanan itu yakin England memiliki pasukan yang lebih sempurna berbanding sebelum ini.

“Kami tahu kami cukup bagus untuk menewaskan mana-mana pasukan,” kata Bronze, 27, sewaktu ditemu bual AFP sebelum Piala Dunia bermula.

England membentuk skuad Piala Dunia selepas memenangi SheBelieves Cup di Amerika Syarikat, Mac lalu, termasuk mencatat kemenangan ke atas Jepun 3-0.

“Kami belajar bagaimana untuk menang, kami sudah terbiasa meraih kemenangan, kami mahu mencipta kejayaan dan begitu dahagakan untuk menjejakkan kaki ke perlawanan akhir. Dengan apa yang telah terjadi, ini adalah masa yang cukup sempurna untuk hadir pada pertandingan ini dan mengubah sejarah di England serta bola sepak wanita,” ujarnya.

Keperitan yang ditanggung pada 2015 masih dirasai oleh Bronze, yang tidak sihat dan terpaksa dibawa keluar sewaktu babak kedua permainan.

“Saya mengalami muntah-muntah sepanjang hari. Saya berasakan saya mengalami keracunan makanan. Ia sangat sangat kabur. Tetapi bukan kesakitan yang menghentikan saya, namun, kekejangan menyebabkan saya terpaksa di bawa keluar. Tubuh saya seperti mengalami kejutan,” kata Bronze kepada media Britain.

Sejak pertemuan 2015, banyak yang berubah, Bronze meninggalkan Manchester City untuk menyertai Lyon pada 2017, yang menyaksikan dia berada di bawah satu bumbung dengan Kumagai. Mereka berdua memenangi gelaran Liga Perancis dan Liga Juara-Juara secara berturut-turut.

Kedua-dua pemain tersebut berada dalam kesebelasan utama pada final Liga Juara-Juara 2018 sewaktu menang ke atas Wolfsburg, tetapi Kumagai hanya menjadi pemain gantian sewaktu Lyon mempertahankan gelaran, bulan lalu selepas menewaskan Barcelona di Budapest.

Lyon telah memenangi empat gelaran terakhir Liga Juara-Juara dan Kumagai bersama mereka dalam kesemua kejayaan itu sejak kelab Perancis itu mendapatkan tandatangannya pada 2013.

Pada usia 28 tahun, Kumagai telahpun melakukan 106 penampilan untuk negaranya dan menjaringkan gol kemenangan menerusi sepakan penalti pada final Piala Dunia 2011.

Bek tengah dan kapten, Kumagai merupakan pemain paling tua dalam skuad Jepun dan mengintai peluang untuk beraksi pada Sukan Olimpik di Tokyo, tahun depan. Kesebelasan utama mereka sewaktu meraih kemenangan 2-1 ke atas Scotland menampilkan enam pemain berusia 23 tahun dan ke bawah.

“Saya tidak sabar untuk beraksi menentang rakan sepasukan saya. Sudah tentu, kami saling mengenali bagaimana kami bermain, tetapi kami mungkin tidak kerap bertembung sesama sendiri.

“Bagaimanapun, saya akan membantu rakan sepasukan saya dalam skuad Jepun dan beritahu mereka bagaimana Lucy bermain,” kata Kumagai ketika ditanya tentang pertembungannya dengan Bronze dan bintang masa depan Lyon, Nikita Parris. - AFP