Selepas kalah 2-3 kepada Crystal Palace, Ahad lalu, Arsenal bakal berkunjung ke Wolverhampton awal pagi Khamis ini dengan sebarang kegagalan untuk memperbaiki kelemahan ketara tersebut dijangka akan membawa padah lebih besar ke atas peluang mereka.

Ketika menentang Palace, benteng Arsenal melepaskan gol begitu sahaja kepada pasukan lawan menerusi tiga kesilapan mudah, selepas Emery membuat keputusan merehatkan beberapa pemain utama yang beraksi ketika menang ke atas Napoli pada suku akhir Liga Europa.

Walaupun, keputusan itu jelas memakan diri sendiri dan mengakui kesilapan yang dilakukannya, Emery tetap yakin Arsenal akan bangkit untuk perlawanan liga perdana seterusnya.

“Saya yakin dengan cara penggiliran pemain yang kami gunakan. Kita perlu positif kerana musim ini, kami sudah bekerja keras untuk berusaha berada dalam kelompok empat teratas. Ia ke arah itu sekarang.

“Kami juga sudah ke separuh akhir Liga Europa dan boleh berbangga dengannya. Mungkin, hari ini, kami kecewa tetapi esok kami akan berdiri gah semula dan bersedia untuk perlawanan Wolves pula walaupun dilihat sukar,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan menentang Palace.

Ketika ini cabaran terbesar Emery ialah percaturan taktikal sama ada mahu meletakkan tiga benteng pertahanan yang dibarisi Laurent Koscielny atau Shkodran Mustafi, selain, merancang sama ada membiarkan Mesut Ozil lebih bebas di bahagian tengah untuk menyokong Pierre-Emerick Aubameyang dan Alexandre Lacazette di bahagian depan ataupun tidak. - AFP