Kekalahan itu menyaksikan Perak sekadar meraih satu kemenangan selepas sembilan perlawan, dua kali tewas dan mencatat keputusan seri paling banyak iaitu sebanyak enam perlawanan.

Dalam perlawanan di Stadium Perak hari ini, pasukan pelawat yang kini menduduki tangga kedua berjaya meraih tiga mata hasil jaringan tunggal perlawanan menerusi Herold Mark Gollow pada minit ke-56.

Jaringan itu berpunca daripada sepakan bebas Muhamad Nor Azam Abdul Azih yang tepat ke arah Mark Gollow untuk pemain itu mudah menolak masuk bola ke gawang Perak.

Sebelum itu, Perak mulakan permainan dengan beberapa asakan awal namun dapat diipatahkan pertahanan Pahang.

Walaupun menguasai permainan, gawang Perak nyaris dibolosi pasukan pelawat pada minit ke-37 apabila Jose Eduardo yang tidak dicabar melakukan tandukan namun bola tepat ke arah penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim.

Peluang terbaik Perak untuk menjaringkan gol hanya melalui sepakan bebas Nazirul Naim Che Hashim namun bola ditolak keluar oleh penjaga gawang Pahang, Mohd. Helmi Eliza Elias pada minit ke-40.

Pahang beraksi dengan 10 pemain apabila Muhamad Nor Azam dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-72.

Begitu pun Perak gagal menggunakan peluang tersebut untuk sekurang-kurangnya mencari gol penyamaan.- UTUSAN ONLINE