Itulah yang boleh digambarkan mengenai final Piala Malaysia 2018 yang menyaksikan Perak menamatkan penantian 18 tahun dengan menumpaskan Terengganu menerusi penentuan sepakan penalti 4-1 selepas ketinggalan tiga kali di Stadium Shah Alam, hari ini.

Selepas dua kali berada di ambang kekalahan dan tiga kali ketinggalan, jaringan sendiri pertahanan Terengganu, Igor Zonjic pada minit ke-121 membolehkan Perak mengheret permainan ke penentuan sepakan penalti selepas perlawanan terikat 3-3.

Penjaga gol Perak, Muhammad Hafizul Hakim Khairul yang dipersalahkan ke atas kedua-dua jaringan Terengganu pada babak pertama menebus kesilapannya dengan muncul wira Bos Gaurus apabila menyelamatkan dua sepakan penalti.

Selepas Terengganu selesa mendahului 2-0 pada babak pertama menerusi kapten, Kipre Tchetche, Perak mempamer kebangkitan hebat di separuh masa kedua menerusi jaringan Muhd. Firdaus Saiyadi pada minit ke-46, diikuti rembatan cantik Brenda Gan, dua minit memasuki waktu kecederaan.

Begitupun, Terengganu tidak menunggu lama untuk kembali berada di depan sebaik sahaja masa tambahan bermula apabila pemain tengah, Mohd. Faiz Nasir menewaskan pertahanan lawan sebelum melepaskan rembatan kiri untuk kedudukan 3-2.

Begitupun, jaringan Zonjic mengubah segala-galanya, dan Perak yang mendapat talian hayat terakhir tidak mempersiakan peluang apabila menyempurnakan keempat-empat sepakan penalti.

Kemenangan ini bukan sahaja memberikan kejuaraan Piala Malaysia kelapan buat Perak, malah membantu mereka melunaskan dendam atas kekalahan 1-2 kepada Terengganu ketika kedua-dua pasukan berentak dalam final di Bukit Jalil pada 2001.

Perlawanan juga berlangsung penuh kontroversi apabila jaringan penyerang Perak, Leandro dos Santos pada minit ke-31 dibatalkan pengadil, Suresh Jayaraman kerana mendakwa pemain itu mengkasari penjaga gol, Mohd. Suffian Ab Rahman Kungi Raman.

Aksi di Stadium Shah Alam itu juga dicemari dua layangan kad merah. Penyerang import Perak, Gilmar da Silva menjadi penerima pertama pada minit ke-56 selepas bergaduh dengan pemain Terengganu.

Bagaimanapun, sembilan minit kemudian, giliran skuad Penyu pula beraksi dengan 10 pemain selepas Lee Tuck menerima kad kuning kedua kerana mengkasari Brendan. - UTUSAN ONLINE