Ketiga-tiga penyokong tersebut yang merupakan pemegang tiket bermusim, telah menawarkan tempat duduk mereka untuk perlawanan di Stadium Wanda Metropolitano, Madrid kepada pihak kedua.

Bagaimanapun, mereka tidak dibenarkan menjual semula tiket berkenaan dan ekoran kesalahan itu, Tottenham telah bertindak mengenakan hukuman penggantungan ke atas tiga penyokong tersebut.

“Kelab minggu ini telah mengenakan hukuman penggantungan seumur hidup kepada pemegang tiket bermusim yang menjual tiket perlawanan akhir Liga Juara-Juara UEFA kepada pihak kedua.

“Sekali lagi, kami ingin mengingatkan kepada semua penyokong bahawa sebarang tiket yang dibeli daripada kelab adalah untuk kegunaan individu berkenaan. Memindahkan atau menjual tiket kepada pihak lain secara tidak rasmi telah melanggar syarat yang digariskan dan ia sama sekali menyalahi undang-undang.

“Kami akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang didapati terbabit dalam aktiviti sedemikian, termasuk menggantung pemegang tiket bermusim berkenaan.

“Tolong jangan rosakkan hari paling indah yang merupakan sejarah kelab dengan menjual tiket anda dan mengambil kesempatan ke atas rakan penyokong Spurs,” kata Tottenham dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.

Kelab London utara itu hanya menerima 16,613 tiket perlawanan akhir yang melibatkan pertembungan dua kelab England pada 2 Jun ini, yang menyaksikan ramai penyokong gagal mendapatkan tiket.

Ekoran kegagalan untuk mendapatkan tiket di stadium yang memiliki kapasiti 64,000 tempat duduk, Tottenham Hotspur Supporters Trust, minggu lalu, mengeluarkan kenyataan bersama kumpulan peminat Liverpool, Spirit of Shankly memohon penaja pertandingan untuk melepaskan kuota tiket yang mereka miliki. - AFP