Jika Mohamed Azmin atau kerajaan negeri gagal berbuat demikian dengan tidak mempedulikan memorandum yang mengandungi 15,000 tandatangan itu, badan tersebut akan membawakan isu berkenaan kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin dalam usaha mendapatkan sokongan daripada pihak istana.

Jurucakap Badan Bertindak Penyokong Selangor, Sharafi Sham berkata, isu Stadium Shah Alam sudah berlarutan sekian lama dan penyokong juga telah lama bersabar dengan mengharapkan kedua-dua pihak iaitu kerajaan negeri dan Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dapat mencari penyelesaian, tetapi ia tidak berlaku.

“Kami menuntut kenyataan media (kata putus) daripada pejabat Menteri Besar dalam tempoh 48 jam bermula sebaik memorandum ini diserahkan. Ini bukan kehendak kita (Badan Bertindak Penyokong Selangor) tapi kehendak penyokong Selangor yang mahukan Stadium Shah Alam menjadi gelanggang tuan rumah buat Selangor.

“Jadi kami tunggu jawapan balas, jawapan kepada semua penyokong yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku dalam senario bola sepak di Selangor ini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum mengandungi 15,000 tandatangan penyokong Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan, Amirudin Shari menerima memorandum tersebut bagi mewakili kerajaan negeri.

Semalam, kumpulan sama berkumpul di Stadium Shah Alam bagi menuntut stadium yang telah menjadi gelanggang keramat buat The Red Giants sejak 1990-an itu dikembalikan, selain mendesak agar bola sepak Selangor tidak dijadikan mainan politik. - UTUSAN ONLINE