Jika Mohamed Azmin atau kerajaan negeri gagal berbuat demikian dengan tidak mempedulikan memorandum yang mengandungi 15,000 tandatangan itu, badan tersebut akan membawa isu berkenaan kepada Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin dalam usaha mendapatkan sokongan daripada pihak istana.

Jurucakap Badan Bertindak Penyokong Selangor, Sharafi Sham berkata, isu Stadium Shah Alam sudah berlarutan sekian lama dan penyokong juga telah lama bersabar dengan mengharapkan kedua-dua pihak iaitu kerajaan negeri dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) dapat mencari penyelesaian tetapi ia tidak berlaku.

“Kami menuntut kenyataan media (kata putus) daripada pejabat Menteri Besar dalam tempoh 48 jam bermula sebaik memorandum ini diserahkan. Ini bukan kehendak kita (Badan Bertindak Penyokong Selangor) tapi kehendak penyokong Selangor yang mahukan Stadium Shah Alam menjadi gelanggang tuan rumah buat Selangor.

“Jadi, kami tunggu jawapan balas, jawapan kepada semua penyokong yang tertanya-tanya apa sebenarnya yang berlaku dalam senario bola sepak di Selangor ini,” katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum mengandungi 15,000 tandatangan penyokong Selangor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Keusahawanan, Amirudin Shari menerima memorandum tersebut sebagai mewakili kerajaan negeri.

Semalam, kumpulan sama berkumpul di Stadium Shah Alam bagi menuntut stadium yang telah menjadi gelanggang keramat Red Giants sejak 1990-an itu dikembalikan, selain mendesak agar bola sepak Selangor tidak dijadikan mainan politik.

Dalam perkembangan sama, ditanya mengenai pertemuannya dengan Amirudin, Sharafi berkata, masih terdapat banyak perkara yang tidak dijelaskan dengan betul mengenai isu tersebut dan ia perlu dijawab segera oleh kerajaan negeri.

“Kami telah cuba mendapatkan informasi sedalam mungkin tetapi ada beberapa perkara tidak dijelaskan dengan sebetulnya dan kami melihat tiada ketelusan dalam aspek itu,” jelasnya.

Sementara itu, seorang lagi jurucakap badan tersebut, Ahmad Faizal Wahid berkata, mereka tidak mahu terheret dalam permainan politik tetapi akan melakukan apa sahaja dengan berlandaskan undang-undang bagi memastikan Stadium Shah Alam kembali menjadi gelanggang tuan rumah Red Giants.

“Matlamat kami hanya satu iaitu melihat Selangor bermain di Stadium Shah Alam seperti sebelum ini dan kami sanggup menjadi orang tengah bagi memastikan FAS dan Kerajaan Negeri Selangor duduk semeja menyelesaikan isu ini,” katanya.