Selain mempertaruhkan kejuaraan liga, City yang sedang bersaing sengit dengan Liverpool, United pula semakin terdesak untuk berada dalam kelompok empat teratas, manakala, faktor penting lain daripada itu adalah lebih kepada melibatkan maruah kedua-dua pasukan berjiran tersebut.

Atas kertas, pertemuan di Old Trafford cukup penting buat City kerana kalah atau seri akan menyebabkan skuad kendalian Pep Guardiola itu berdepan kesukaran untuk mempertahankan kejuaraan liga mereka.

Perbezaan mata yang rapat dengan Liverpool tidak membenarkan sebarang kealpaan berlaku di kem City kerana selepas ini kedua-dua pasukan akan menamatkan baki perlawanan musim ini dengan menentang pasukan yang bukan gergasi.

United yang baharu sahaja dimalukan 0-4 oleh Everton boleh menjadi pengacau kepada hajat City itu memandangkan kemenangan akan menghidupkan semula peluang skuad bimbingan Ole Gunnar Solskjaer untuk layak ke Liga Juara Juara, musim depan.

Ketika ini United mengumpul 64 mata di tangga keenam liga, dua mata di belakang Arsenal di tangga kelima serta keciciran tiga mata berbanding Tottenham Hotspur (ketiga) dan Chelsea (keempat).

Namun, apa yang meresahkan United ketika ini ialah momentum kemenangan yang dibina Solskjaer sejak beberapa bulan lalu kini semakin terhakis, sekaligus, menyaksikan kelebihan dilihat berpindah kepada City.

Melainkan Solskjaer berjaya membuat perubahan besar, itu sahaja yang mampu memberi masalah kepada City untuk mencari kemenangan yang diperlukan.

"Menentang City di Old Trafford, itu sahaja yang mampu memberikan insentif besar kepada kami. Di tempat sendiri, saya percaya sokongan luar biasa yang diterima akan menjadikan ia malam yang hebat,” kata Solskjaer.

Sehubungan itu, Guardiola yang menyedari situasi tersebut menegaskan, pasukannya perlu berhati-hati untuk aksi mesti menang ke atas United itu kerana Liverpool kini menanti sahaja mereka tercicir mata.

“Dengan barisan pemain yang Liverpool ada sekarang, skuad saya sedar akibat jika kami kalah perlawanan derby ini,” kata-kata amaran daripada Guardiola yang sedang memburu kejuaraan treble iaitu gelaran liga, Piala FA dan Piala Liga (yang sudahpun berada dalam genggaman).

Ketika ini City mengumpul 86 mata daripada 34 perlawanan, manakala, Liverpool 88 mata daripada 35 perlawanan. - AFP