Ranieri, 66, dilantik Vichai untuk mengemudi Leicester pada 2015 telah mencipta sejarah apabila membantu skuad The Foxes itu menjulang trofi Liga Perdana Inggeris (EPL) pada tahun berikutnya.

Bilionaire Vichai, 60, meninggal dunia bersama empat lagi selepas helikopter yang mereka naiki terhempas di kawasan parkir Stadium King Power sejurus selepas pasukannya terikat 1-1 menentang West Ham, Sabtu lalu.

“Saya menggigil teruk dengan berita tersebut. Mendiang seorang lelaki yang baik dan sentiasa memberi kata-kata positif kepada semua orang. Sikap positif dan keupayaannya membuat semua orang sayangkannya jelas kelihatan. Dia datang ke bilik persalinan untuk memberi kata-kata semangat, tidak pernah mencela anda.

“Pada suatu hari, selepas hari jadi saya, dia datang ke bilik persalinan dengan kek besar dan semua orang menyanyikan lagu ‘Selamat Hari Jadi’,” katanya yang kini mengemudi kelab Perancis, Nantes.

Dalam pada itu, Ranieri berkata kini terpulang kepada anak lelaki Vichai yang sentiasa mempunyai minat mendalam terhadap bola sepak untuk meneruskan jejak langkah bapanya.

Ranieri turut berkongsi kenangan ketika dia pertama kali bertemu Vichai.

“Saya dengan pantas beranggapan dia seorang yang positif dan penuh tenaga. Objektif saya ketika tiba di Leicester adalah untuk memastikan tempat dalam EPL dengan selamat dan kemudian kita semua tahu apa yang terjadi.

“Vichai Srivaddhanaprabha memberi sumbangan yang amat penting dalam kejayaan memenangi EPL apabila dia memandu selama 30 minit sebelum perlawanan untuk memeluk semua orang. Dia tidak pernah mengeluarkan kata-kata yang menyakitkan dan sentiasa mengukirkan senyuman. Saya sangat sedih ketika ini,” katanya lagi. - AFP