Thibaut Courtois

Walaupun jurulatih berusia 47 tahun itu enggan mengulas mengenai masa depannya sama ada kekal atau pun tidak namun dia kelihatan tidak mendapat sokongan pemain jika memilih untuk mengekalkan jawatannya.

Penjaga gol Red Devils, Thibaut Courtois enggan menyokong Wilmots malah rakan sepasukannya, Eden Hazard berkata jurulatihnya perlu membuat keputusan.

“Terdapat banyak tekanan ke atas dirinya (Wilmots). Kami berada di bawah pimpinannya selama beberapa tahun. Kami memiliki beberapa detik indah dengannya malah ada di antaranya cukup menakjubkan.

“Hari ini kami mengalami kekecewaan namun saya fikir dia akan memikirkannya, dia akan membuat keputusan kemudian sama ada mahu kekal bersama kami atau sebaliknya. Jika tidak kami mengucapkan selamat berjaya kepadanya,” kata pemain berusia 24 tahun itu.

Sementara itu, pemain tengah Chelsea, Hazard berkata Belgium masih boleh positif mengenai masa depan mereka walaupun tersingkir daripada Euro 2016 selepas tumpas 3-1 kepada Wales di peringkat suku akhir.

Walaupun pemain Red Devils terluka disebabkan kekalahan itu kerana mereka dijangka untuk memenanginya, Hazard, 25, berkata rakan sepasukannya mempunyai sebab tersendiri untuk terus ceria.

“Kami akan terus bekerja dan mensasarkan untuk memenangi kejohanan pada masa depan. Dua tahun lagi Piala Dunia akan diadakan. Itu merupakan objektif seterusnya, jadi kami akan memikirkan mengenainya, tentang kelayakan dan seterusnya Euro 2020. Kami pasukan muda jadi kami boleh kekal positif untuk masa depan,” kata kapten Belgium itu.

Dalam pertemuan suku akhir, Belgium terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan Radja Nainggolan sebelum Wales bangkit dan menghasilkan tiga gol.

“Kami bermain dengan baik pada 20 minit pertama. Di penghujung permainan kami semua berkata bahawa kami akan terus berjuang kerana kami memiliki banyak kualiti namun mereka bermain lebih baik daripada kami. Mereka mempunyai ramai pemain beraksi dalam Liga Inggeris.

“Hari ini kami merupakan pasukan yang sangat muda. Itu adalah kelebihan namun adakalanya jika anda kekurangan pengalaman ini yang bakal terjadi.

“Kami tewas kepada Itali namun saya fikir kami bermain dengan baik untuk tiga perlawanan, menentang Ireland, Sweden dan Hungary. Jadi kami akan terus bekerjasama dan kami akan berusaha untuk memenangi mana-mana kejohanan bersama,” kata Hazard lagi. 
– AGENSI